Thursday, November 19, 2009

TAMBUNAN 4X4 CHALLENGE

UTUSAN BORNEO
RABU, 29 JULAI 2009

"YONG & LIM MUNCUL JUARA TAMBUNAN 4X4 CHALLENGE"

Oleh STEVEN YS LIM

Yong Fui Kee (pemandu) dan Lim Vui Hen(pembantu) dari Tenom Four Wheel Drive Club muncul juara dalam Kategori Hardcore sempena Tambunan 4x4 Challenge Terbuka anjuran Kota Kinabalu Four Wheel Drive Club (KKFWDC) Cawangan Tambunan yang diadakan di Kampung Kituntul, Tambunan baru-baru ini. Tempat Kedua dimenangi Mahisin Juhian dan Saidin Manap dari Keningau Four Wheel Drive Club, manakala tempat ketiga disandang Chang Chiew Shen dan Yap Swe Siong dari Sandakan Four Wheel Drive Club. Juara memenangi wang tunai RM2,000, dua buah piala, sebuah inter-cooler dan sebotol minyak enjin Motal, manakala tempat kedua mendapat RM1,000, dua buah piala, sebiji turbo dan minyak enjin Motal dan tempat ketiga RM500, dua biji piala, sebuah air locker yang telah diubahsuaikan dan minyak enjin Motal.

Bagi kategori Novice, tempat pertama dan kedua dimenangi oleh Keningau Four Wheel Drive Club dengan hadiah wang tunai masing-masing RM200 dan RM150 dan tempat ketiga oleh Ranau Four Wheel Drive Club dengan hadiah wang tunai RM100.


Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba, PBK II, Faizal Ahmad menyerahkan pelekat talian 999 kepada Pengerusi Penganjur Kenneth Rudolf di Rumah Mendiang James dalam majlis penyampaian hadiah sebagai promosi melalui semua kelab tersebut untuk memberitahu orang awam tentang penggunaan talian tersebut bagi panggilan kecemasan di negara ini.


"Nombor ini amat mudah diingati dan telah dilancarkan di negeri Sabah sejak Januari tahun ini", katanya.


Sementara itu, Kenneth semasa ditemui berkata bahawa pertandingan tersebut diadakan untuk memperingati mendiang James Catherinus Marcus, pengasas Cawangan yang meninggal dunia pada 10 Jun 2009 atas masalah kesihatan.


"Pertandingan yang berlangsung dua hari itu (25-26/7) juga bertujuan untuk memenuhi hasrat mendiang seperti yang telah diputuskan dalam mesyuarat pada 6 Jun 2009 untuk menganjurkan pertandingan tersebut dengan Daerah Tambunan sebagai hos", katanya.


"Pertandingan kali ini telah disertai 12 buah kenderaan dari Daerah Keningau, Ranau dan Tambunan bagi Kategori Novice dan 10 buah kenderaan dari Daerah Keningau, Ranau, Sandakan, Tambunan dan Tenom," katanya lagi.


Kenneth juga merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penderma atas sumbangan mereka dalam bentuk wang tunai atau material seperti Wong Kon Phin, Kinaway Sdn. Bhd, Fabiz Sdn Bhd, Kelab Four Wheel Drive, Turbo Tech Engineering, Seal Supplies Sdn Bhd dan Golden Point dari Kota Kinabalu, Hospital Daerah Tambunan, Tambunan Village Centre, Adzman Manap, James Gasida, Erico Phone, Balai Bomba dan Penyelamat, Polis DiRaja Malaysia, Aloysius Girik, Gold Studio dan KL Enterprise, Jabinus dari Kundasang, HMK Hi Tech dari Tenom dan Imperial Tawau.


Lim Sen Tet, seorang ahli Jawatankuasa KKFWDC menyifatkan aktiviti seumpama ini amat baik untuk mengisi masa lapang belia dan beliawanis di samping berkenalan dan memupuk hubungan baik antara ahli-ahli kelab dan orang ramai dari pelbagai kaum.

"Sukan lasak ini amat digemari oleh ahli-ahli kelab dan orang ramai dan selalunya disertai oleh mereka yang datangnya dari seluruh pelusuk negeri dan ia amat sesuai bagi kami yang berumur dalam lingkungan 30 - 40 tahun," kata Lim yang telah berkecimpung dalam sukan ini sejak 1984.

Pengerusi Four Wheel Drive Club Tenom Victor Lim Vui Chen, pula berpendapat bahawa pertandingan ini memberi ruang kepada ahli-ahli kelab untuk menimbah ilmu sambil meningkatkan teknik kemahiran yang tidak boleh diperolehi dari buku.


"Hanya melalui latihan amali dan cubaan demi cubaan, seseorang pemandu dan penolongnya akan berkemampuan lalu bijak berikthiar untuk mengatasi sebarang cabaran atau halangan
dengan yakin dan mudah," jelasnya. Victor juga memberitahu bahawa kelabnya akan menganjurkan Merdeka 4x4 Challenge Open pada 29-30 Ogos 2009 di Tenom.

Nico Kloet dan tunangnya Melody dari Holland datang ke tapak pertandingan semata-mata untuk melihat dan belajar tentang kelasakan sukan tersebut. Bekerja sebagai seorang Pembantu Logistik Badan-badan Bersatu Dunia, beliau akan memandu kereta lasaknya dari Holland ke Afrika Utara, Asia Barat, Asia Tenggara dan Singapura dalam bulan Januari tahun depan.


"Inilah peluang keemasan bagi saya dan tunang saya untuk melihat dengan mata sendiri kemungkinan-kemingkinan yang akan kami hadapi dan cara-cara terbaik untuk mengatasi masalah dalam pengembaraan kami nanti," katanya.


Isteri mendiang James, Veronica Solisip dan Penolong Pegawai Daerah Pentadbiran Salehuddin Tahir menyampaikan hadiah-hadiah kepada para penyumbang dan pemenang di majlis tersebut.